Thursday, February 23, 2012
   
Text Size

Dari Meja Guru Besar

 

 

 

Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera. Selamat datang ke Laman Web Sekolah Kebangsaan Bukit Gambir, Pulau Pinang.

Bersyukur kita kepada Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnianya maka kita dapat berkomunikasi dalam laman Web ini. Saya percaya bahawa pengunjung yang melayari laman ini akan mendapat informasi berguna mengenai sekolah kami.

Persaingan yang sihat dalam Era Teknologi Maklumat merupakan satu cabaran besar dan bermakna kepada SKBG kerana dengan cara ini SKBG dapat mempromosikan sekolah melalui Laman Web ini. Bukan setakat itu, malahan dapat menyampaikan maklumat terkini selaras dengan perkembangan sekolah. Sekolah ini ingin melahirkan dan mempersiapkan golongan kanak-kanak agar mempunyai kemahiran-kemahiran tertentu sebelum menempuh alam remaja, selain memperlihatkan panorama sekolah bersih lagi kondusif, sesuai dengan aspirasi Kementerian Pelajaran yang ingin membangunkan sebuah sistem pendidikan berkualiti yang bertaraf dunia.

Laman Web ini juga merupakan sumber dokumentari yang boleh dijadikan panduan oleh pengunjung laman ini termasuk warga SKBG. Laman ini memaparkan kesungguhan dan daya kreativiti warga pendidik serta staf sokongan untuk pembangunan sekolah dalam satu pasukan yang mantap.

Saya yakin dan percaya, laman Web ini dapat membantu para pengunjung memperolehi informasi yang diingini. Laman Web ini juga merupakan bukti bahawa SKBG mampu bersaing dalam dunia globalisasi demi memartabatkan sekolah seiring dengan sekolah-sekolah ternama di negara ini.

Ucapan terima kasih dan syabas kepada Dr Hasanah dan warga SKBG atas kesungguhan dan kerjasama yang telah diberikan sehingga laman Web ini berjaya dilancarkan. "Berilmu Berjaya Berjasa " motto sekolah sememangnya tepat kerana laman web ini membuktikan bahawa warga SKBG celik IT.

Sekian, terima kasih.

 

Hj Rahmat Bin Jahari